*HUKUM LIHAT PEREMPUAN MENARI DALAM APLIKASI TIK-TOK*
SOALAN :
Akhir-akhir ini timbul kegemaran anak-anak muda terutama yang perempuan merakamkan diri sendiri dalam aplikasi tik-tok yang mana tanpa rasa malu menari dalam keadaan berpakaian seksi atau mendedahkan aurat dengan gaya yang jijik dan dikongsikan rakaman tersebut di dalam grup washap dan lain-lain media sosial.
Apakah hukumnya kita melihat rakaman tersebut atau kita kongsikan pula kepada rakan-rakan?
JAWAPAN :
Hukum melihat perlakuan tidak senonoh dan jijik seperti itu adalah haram dan haram pula dikongsikan di dalam media sosial atau lainnya.
Perempuan-perempuan yang terlibat dengan perbuatan seperti ini telah dirasuk oleh syaitan bertujuan menyesatkannya dari jalan yang benar.
Kerana itulah dikatakan kaum perempuan itu sentiasa didampingi oleh syaitan samada dari hadapannya atau dari belakangnya.
Telah diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a. Nabi saw telah bersabda :
إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ
Artinya : “Sungguhnya perempuan itu berhadap ia pada rupa syaitan dan berpaling ia pada rupa syaitan.” (Hadith Imam Muslim)
Berkata Imam Nawawi :
معناه الإشارة إلى الهوى والدعاء إلى الفتنة بها لما جعله الله تعالى في نفوس الرجال من الميل إلى النساء والالتذاذ بنظرهن وما يتعلق بهن فهي شبيهة بالشيطان في دعائه إلى الشر بوسوسته وتزيينه له ويستنبط من هذا أنه ينبغي لها أن لا تخرج بين الرجال إلا لضرورة وأنه ينبغي للرجل الغض عن ثيابها والإعراض عنها مطلقا
Artinya : “Makna hadith ini ialah mengisyaratkan kepada bahawa hawa nafsu dan seruan kepada fitnah dengan sebab perempuan itu ketika Allah menjadikannya pada segala nafsu lelaki rasa ingin kepada perempuan dan bersedap-sedap dengan melihatnya dan barang yang berkait dengan kaum perempuan yaitulah diserupakan dengan syaitan pada seruannya kepada kejahatan dengan mewas-waskannya dan menghiasinya bagi lelaki. Dan diambil daripada inilah sungguhnya sayugia bagi perempuan itu tidak menonjolkan diri di hadapan lelaki melainkan kerana darurah. Dan sepatutnya kaum lelaki memejamkan mata dari melihatnya dan berpaling darinya secara mutlak.” (Kitab Syarah Muslim)
Dan tersebut pada kitab Al-Mufhim Syarah Hadith Muslim :
وقوله : (( إن المرأة تقبل في صورة شيطان )) ؛ أي : في صفته من الوسوسة ، والتحريك للشهوة ؛ بما يبدو منها من المحاسن المثيرة للشهوة النفسية ، والميل الطبيعي ، وبذلك تدعو إلى الفتنة التي هي أعظم من فتنة الشيطان
Artinya : “Dan sabda Nabi saw : Sungguhnya perempuan itu berhadap ia pada rupa syaitan dan berpaling ia pada rupa syaitan itu maksudnya ialah sifat perempuan itu yang memberi was-was dan pergerakkannya bagi merangsang syahwat dengan barang yang nyata daripadanya dari segala keelokan yang membangkitkan nafsu syahwat dan menjadikan tabiat cenderung kepadanya. Dan dengan sebab yang demikian itu ia menyeru kepada fitnah yang merupakan salah satu fitnah syaitan yang terbesar.”
Rasulullah saw telah bersabda :
ما ترَكْتُ بعدي فتنةً أضَرَّ على الرِّجالِ مِن النِّساءِ
Artinya : “Tiada aku tinggalkan selepasku fitnah yang paling memudaratkan atas kaum lelaki yaitu perempuan.” (Sahih Ibnu Hibban daripada Usamah bin Zaid r.a.)
Kesimpulannya perbuatan merakamkan kelakuan menari dalam keadaan seksi atau mendedahkan aurat seperti itu kemudian ditunjukkan pula kepada umum samada menggunakan aplikasi tik-tok atau lainnya adalah haram dan sekelian yang melihatnya adalah berdosa begitu juga haram dikongsikan dengan orang lain dan selama mana rakaman tersebut dilihat orang maka berjalan dosa setiap saat ke atas pelakunya dan ke atas orang yang menyebarkannya.
Sebaiknya berhenti dari tindakan yang merugikan seperti ini dan sungguhnya Allah itu maha penerima taubat.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus